Sunday, April 1, 2007

INSPIRASI

INSPIRASI

SEBELUM aku mengenali sastera apakah yang mencabar kehidupan semalam supaya mendekati ruang ini. Aku masih kosong dan tiada ilmu langsung dalam pembikinan sesebuah karya. Mungkin aku lahir daripada keluarga yang meminati sastera. Namun adik-adik aku sendiri bukanlah ada asasnya termasuk aku yang belajar di aliran lain. Cuma belajar bahasa Malaysia.

Di waktu persekolahan dahulu, tidak terpintas mahu menjadi seorang penulis. Manalah tidak kawan-kawan aku semuanya aktif dalam sukan. Aku masih teringat ayah dan ibu memarahi aku
kerana asyik bersukan, langsung tidak melayan pelajaran. Sehingga di halau keluar rumah.
Mungkin inilah jodohnya, setelah aku gagal dalam pelajaran. Aku bertemu dengan seorang rakan yang gemar menulis puisi. Namun waktu itu, aku belum menemui sentuhan mahu menghasilkan sebarang karya.

Terima kasih Ijamala M.N. Selepas aku menamatkan persekolahan, aku tidak mempunyai pekerjaan yang tetap. Rancangan Belia Bergerak Maju dan Remaja terbitan Radio Malaysia Kawasan Utara, Jalan Burma menjanjikan sinar baru dalam hidupku. Aku terpikat dengan program tersebut. Di situlah karya pertama aku disiarkan dan seterusnya.

Kebetulan karya-karya aku sering tersiar di media cetak dan elektronik kemudiannya aku bersemuka pula dengan penulis-penulis yang sebaya zamannya. Mereka juga turut sama mewarnai dunia penulisan tanah air. Aku banyak menghadiri bengkel penulisan kreatif, seminar sastera dan bahasa serta mendapat jemputan bacaan puisi. Terima kasih sekali lagi kepada teman-teman seperjuangan, LEPAS terutama Kak Noriah Sharif, Tuan Haji Azidin, Cikgu Rashid, Cikgu Suhaimi Zubir, Cikgu Itamta serta yang lain, KARYAWAN PK yang tidak lepas memberi galakan dan sokongan antaranya Ketua 1 Haji Zabidin Ismail, Yushaini Teriman, Jamaludin Ahmed, Onn Abdullah, Zahari Hasib, M. Shah, Sabariah Bahari dan lain-lain lagi.

Aku bersyukur bakat yang ALLAH berikan walaupun tidak sehebat mana. Bengkel yang terakhir aku ikuti ialah Bengkel Penulisan Kreatif anjuran KEKWA di Batu Feringgi, Pulau Pinang yang dibimbingi oleh anak sasterawan Negara S.M.Zakir, Rahimidin Zahari dan Khalid Salleh.

Begitulah seringkas bagaimana aku mengenali sastera.
Begitu luas lagi pelayaran ini.

No comments: