Thursday, December 11, 2008

PERBUKITAN SEPI

PERBUKITAN SEPI

Telah lama perbukitan sepi ini
nazak
dalam nanar
setiap inci tubuh
sering tersentuh
sering terbunuh
akar yang cuba menjalar tumbuh
akhirnya runtuh

Perbukitan ini
terus sepi
terus meraung lagi
menangis sendiri
cerun sentiasa bermimpi ngeri
konkrit tidak sehebat janji
bukan tandingan ILLAHI
yang teguh berdiri

Perbukitan sepi
terpaksa menerima realiti
manusia alpa
bahawa semalam sudah tertulis di dalam diari
tragedi
sudah mewaritakan sejarah hitam tersendiri
namun cuba menyogok keuntungan peribadi
yang tertimbus ketamakan

Kedegilan
menjadi nyawa
sentiasa bersua
dengan kemautan.

AL HISYAM,
KARYAWAN PK.

Friday, November 28, 2008

NOVEMBER

NOVEMBER

Sederap langkah
tidak pernah berpatah
tidak pernah tersalah
tercabar ngilu resah
sejurus arah

November
tidak mungkin tercangkir
tidak mungkin tersingkir
yang berzikir
bibir
witir
dalam gentir

Mencetus realiti
mencari saksi
yang hakiki

AL HISYAM,
KUALA KANGASR.

Friday, October 31, 2008

BALASAN

BALASAN

Apakah laknat itu
belum punya waktu
belum punya restu
pada balasan yang SATU

Semakin ghairah
alpa dalam lena
amarah
suka berbaur duka

ALONG PR.

Saturday, October 18, 2008

SUTERA MALAYA

SUTERA MALAYA
(Ucapan Terima Kasih Kepada Penulis Blog Ini Yang Menonjolkan Wajah Pertemuan Cliffordian Tahun 86 Walaupun Aku Tidak Kesampaian Dalam Majlis Tersebut)

Cukup memesankan kembali ingatan lampau
SUTERA MALAYA
menemui aku kepada wajah
yang hilang
daripada pandangan
jauh
diranjaui waktu
dicemburui jarak

SUTERA MALAYA
mendekatkat blog
dengan kegebuan tubuh terkini
Kedai Bob Laksa
memberi mesej terbaru
menerima cerita terharu
salam lalu
masih dapat bersatu
walaupun tidak sepenuh restu
namun kelibat keakraban itu
terus menemukan jodoh pertemuan memukau rindu
tetap mendapat keizinan daripada yang SATU

Terima kasih SUTERA MALAYA
yang inginkan jalinan berterusan
waktu dan jarak
punya kesinambungan
usaha dan setia
Aidil Fitri meninggalkan ceria
perpisahan fana jua
noktah segala-galanya.

AL HISYAM,
KUALA KANGSAR.

Thursday, October 16, 2008

NIKMAT DINIHARI

NIKMAT DINIHARI

Sukarnya aku berjanji
kepada peribadi
bangkit
menikmati dinihari
bersama penyerahan
yang suci

Angkuhkah peribadi
menikmati dinihari
dalam sunyi
berkhalawat sendiri
menambah pertimbangan abadi?

AL HIYSAM,
Persiaran Puteri 17,
Taman Chandan Puteri,
Kuala Kangsar.

DEDALU

DEDALU

Mampukah melepaskan peribadi
seperti dahan pokok
yang terbelit
dengan kejahatan dedalu

Terseksa
rimas
dalam menjadualkan keinginan
dan impian
meneruskan kehidupan

Dedalu masih membelit
di dahan pokok
yang sebelum ini
bebas
merimbun
mengeluarkan zat ILLAHI.

AL HISYAM.
SIMPANG TIGA TALANG,
3300 KUALA KANGSAR.

Friday, October 10, 2008

MISTERI SEORANG PENYAIR LELAH DALAM ILUSI

MISTERI SEORANG PENYAIR LELAH DALAM ILUSI
(Ijamala MN. Memberitahu Yang Teman Seperjuangan Amirul Fakir
Dalam Derita Semasa Pemanduan Dalam Perjalanan Pulang Ke Kampungnya)

Dalam perjalanan pulang seorang teman ke kampung memberitakan kepada
aku misteri seorang penyair lelah dalam ilusi
setelah menyepi
tanpa surat dan suara di udara yang mencetuskan fikirnya di hati
bergelumang keperihan dan penderitaan menusuk peribadi

Semalam zaman seorang penyair
yang indah bahasa lantang suara
tidak ditatap lagi
tidak bergemanya lagi
senyap sunyi
meninggalkan dunia seni dan syairnya yang fana ini
dengan misteri

Seorang teman inginkan ziarah bertemu
tapi berulang kali menerima sendu
seorang penyair itu
tidak mahu diganggu
apakah rindu
belum tersipu
serta malu
membantutkan sembilu
seorang penyair menyambut salam yang satu.

AL HISYAM,
KARYAWAN PK.

Tuesday, September 30, 2008

HUJAN PAGI SYAWAL

HUJAN PAGI SYAWAL

Kelewatan ini
tidak merobek jiwa
walaupun sedikit kecewa suku malam
ditinggalkan
daripada lena
yang panjang
tanpa penyerahan kepadaNya
demi kiblat iman dan takwa

Hujan pagi Syawal
tidak menewaskan aku mengharungi kelebatannya
meneruskan perjalanan dalam kelejunan
menjadualkan peribadi
menempahkan keyakinan
bertamu di awal Syawal
setelah sebulan bertarung peradaban
mencari barakah
yang hakiki.

AL HISYAM,
KARYAWAN PK.

Saturday, September 20, 2008

WAJAH IBU RAMADAN INI

WAJAH IBU RAMADAN INI

Sewaktu aku kecil seorang ibu
tidak pernah berpaut sepi
tidak pernah berpapah lesu

Wajah ibu Ramadan ini
begitu sayu di hati
begitu dekat janji ILLAHI


Tapi ibu
sekeras batu
yang tidak mahu bongkoknya terasing

Amalan
dalam penyerahan
bekalan kesungguhan

20 Ramadan
meneruskan jadual ibu
mendekatkan kejiwaan

Apakah sepuluh malam terakhir
menjadualkan barakah
meniti tekad menempatkan keimanan dan ketakwaan.

AL HISYAM,
Simpang Tiga Talang,
33000 Kuala Kangsar.

Monday, September 8, 2008

PUTARAN

PUTARAN

APAKAH Ramadan medan jiwa
menyorong dalam sepi

Putaran ini
20 tahun menanti
menunggu anugerah
daripada mata yang buta
kepada hati yang celik

Ingat
dalam rindu ALLAH
yang SATU
tetap aku nikmati
sebuah hikmah
tetap aku layari
sebuah maruah

Sehingga hari ini
8 Ramadan 1429
menjadi saksi
yang cintaku padaNya
hanya SATU
walaupun aku terpaksa
terpaku dan dipaku sebegitu
biarlah 20 tahun aku tersepuh di situ
mungkin doa tawakal
menghadiahkan sesuatu
yang aku tidak tahu
mungkin esok
lusa
tulat
aku akan menerima anugerah yang jitu.

AL HISYAM.

Friday, August 29, 2008

KEMBALIKAN CINTAMU PADA KEIKHLASAN

KEMBALIKAN CINTAMU
PADA KEIKHLASAN

Telah aku duga kemerdekaan ini
tidak punya barakah
dalam hidayah
tidak punya harakah
dalam maruah

Kembalikan cintamu
pada keikhlasan
mengiringi syurga
mengimbangi duniawi dan akhir nanti
sehingga dibangkit bersama titian
yang membawa peribadi
kepada keadilan

Pilihlah denai yang terpilih
pilihlah raptai yang terpilih
memiliki kebenaran
daripada kepincangan
hati yang tersinggung.

AL HISYAM,
BUMBUNG ARENA,
KUALA KANGSAR.

Thursday, August 28, 2008

MERDEKA INI SIAPAKAH YANG MENGERTI

MERDEKA ini
siapakah yang mengerti
dalam peribadi Ogos
menempa sebuah kesangsian
kepada perjalanan
yang semakin lesu
kelalaian
yang terus tersidai
di ampaian hari
terjatuh
ketika angin menempelak
rindunya

Merdeka ini
milik warga kita
51 tahun membina harapan
menjulang kejayaan
haruskah menghilangkan wadah
dan sejarah
daripada menaja
akan kelangsungan kederhakaan
terhadap kedaulatannya

Merdeka ini
peribadi Ogos
yang menuntut kekuatan
yang menjadualkan kesempurnaan
mengisi ruang perjuangan
tanpa menjinakan kelunturan kesedaran.

AL HISYAM,
KUALA KANGSAR.

MERDEKA INI

Saturday, August 23, 2008

APAKAH MERDEKA INI PAKSAAN

APAKAH MERDEKA INI
PAKSAAN

Urat
nadi
peluh semalam yang menitis
belum rasanya habis
terhakis

Apakah merdeka ini
paksaan
dalam menemui kebenaran
mengeluarkan unsur keparatan
yang menganjurkan kekejaman
daripada penindasan

Adakah dalang
masih bernyawa di dunia yang semakin mengenali
kemodenan
setelah berkurun hamba abdi
hilang di bumi
tanpa kenyataan

Hari Kebangsaan
tersingkir
menuntut kefahaman
yang menjadualkan kekerasan
demi keuntungan
tersasar kehormatan
kepada kepenatan dan kepayahan nenek moyang kita
mempertaruhkan darah mengusir penjajahan
yang ingin bertapak di sini
bukanlah kebebasan lagi.

AL HISYAM,
KUALA KANGSAR.

Friday, August 22, 2008

WAJAH PERIBADI

WAJAH PERIBADI

Raksun terpanggil
daripada sebuah ingatan lalu
yang mendesak supaya mengarah
aku mengenali wajah peribadi

Menyelami sebuah kedewasaan
terus menemui kedangkalan
jenuh
dalam mengharungi kekaburan dan kekalutan
terpaksa berdegil juga
menampilkan watak
pada alam rasa

Puisi
apakah realiti
yang mudah aku pamirkan
daripada imaginasi
saksi
berperi
mengusik paksi
menjernihkan gelodak
yang melemaskan peribadi.

AL HISYAM,
KUALA KANGSAR.

Saturday, August 9, 2008

MENGALIH PERJALANAN

MENGALIH PERJALANAN

Seawalnya santai yang tertera
dalam pelan tindakan hari ini
tersungkur janjinya
mengalih perjalanan selatan
yang semakin menemui satu titik

Mujur keteguhan
menyambar adab
menemui sentuhan pendirian
menempiasi kecelaruan
meneguk kepahitan.
mengawal jiwa kegeloraan.

AL HISYAM,
BUMBUNG ARENA,
10 OGOS 2008.

Friday, August 8, 2008

MAAFKAN SEKIRANYA TERLANJUR

MAAFKAN SEKIRANYA TERLANJUR

Maafkan sekiranya terlanjur
dalam menganjur kebenaran
memiliki ketahanan
menyanggah keterpaksaan
yang membuang peluh pengorbanan
tanpa santun ketandusan maruah
mencabar kehadiran
merdeka
Ramadan
hilang Melayu
Islam
demi tunduk kelayuan
bara
yang cuba menjilat kelibat kemurungan
manusiawi.

AL HISYAM,
KUALA KANGSAR.

Tuesday, July 29, 2008

DALAM DIAM

DALAM DIAM

DALAM diam aku memburu sebuah kenyataan
menghafal sendu
yang terbuang kaku

Dalam diam aku menyangkal suatu kepastian
merangkul kejujuran

Dalam diam aku mencipta kebenaran
daripada khianat yang teruji

Dalam diam aku terkilan
menelan jadam jua.

Saturday, July 19, 2008

PASTIKAN PERUBAHAN

PASTIKAN perubahan
menetapi sebuah kejujuran
yang terluang
dalam kepasrahan
pertimbangan
kepada keilmuan
mencabar kemelut keasingan
menjadi suatu kesejatian
menjanjikan keluhuran

AL HISYAM,
Talang, Kuala Kangsar.

Tuesday, July 1, 2008

KONFLIK

KONFLIK

Orang-orang bawah
tetap di bawah
yang atas tetap di atas
konflik
yang di bawah tetap merasakan yang di atas
tidak pernah memakukan bumbungnya
terbang menerjah awan
lalu
tersemban di bumi
yang keterlaluan mahu mendirikan tiang
sudah pasti yang di bawah
tapi di atas kita belum terjangkau
adakah kebocorannya sebuah rumah
penilitian tentang keusangannya.

- LAFANORHAIZUL ISTAKAMISA NS.

Friday, June 20, 2008

MELAHIRKAN SEBUAH BICARA

MELAHIRKAN SEBUAH BICARA

Kesepakatan dalam mencari nur
melahirkan sebuah bicara
menuturkan janji
perolehkah kesinambungan kebenaran
daripada siasah
kehidupan tanpa wadah
yang terjadual
menafsir relevan
krisis kartarsis yang terdampar kelesuan.

AL HISYAM.

Saturday, June 14, 2008

MERENUNG KERUH DI KUALA

MERENUNG KERUH DI KUALA

Mengertikah jambatan itu
menerima setiap tempahan limpahan
daripada hulu
yang semakin deras
merenung keruh di kuala
menunggu kemarau berlanjutan
menjadikan taman gersang jua
dan sungai
lesu sentiasa
serta jambatan itu
gah setia yang kaku.

NAZIRA NATASHA,
PASAR AHAD KUALA KANGSAR.

Wednesday, June 11, 2008

KETERPAKASAAN

KETERPAKSAAN

Kita perlu melangkah
walaupun titian berlian itu
tidak sanggup terbina
daripada impian yang hakiki

Keterpaksaan ini
cukup meleraikan keegoan
kita meneruskan perjalanan
mencari imbuhan

Kita kebuntuan
tiada siapa yang sanggup membebaskan
kebelengguan
dunia yang tercalar
dengan krisis
meninggalkan derita dan sengsara.

NAZIRA NATASHA.

Saturday, May 17, 2008

DALAM NALURI

KETERPERASAAN

Mistik tujuh orang dayang
seorang puteri
bukan agenda dalam naluri
sayang
keterperasaan
yang terhukum di depan wajah hari
cukup memberi anugerah ILLAHI
bahawa cinta
kasih
dan rindu
tidak pernah terbawa rujukan
tersasar dalam naluri
yang terserempak puisi
tertera
pada janji menghuraikan pengertian
daripada naluri.

ALONG PR.
PTM/TTM.

MENOLEH TARIKH KEMISKINAN

MENOLEH TARIKH KEMISKINAN

Kelampauan itu
tidak menoleh langsung
kepada tarikh kemiskinan
yang sering menjadi telunjuk
berharga dalam mencari peribadi
yang suci
mengenali ILLAHI

Walaupun keterpaksaan
menipu
kepada kemanusiaan
setelah tersungkur
meniti kemegahan

Tanpa menoleh tarikh kemiskinan lalu
yang terpedaya
dengan songgokan keaiban
pergi jua
demi kebiadaban
yang memukau kehidupan
daripada keimanan dan ketakwaan.

FAHMI ALNUR.

Sunday, May 11, 2008

KETELUSAN

KETELUSAN

Dalam mencari sebuah ketelusan
kita sering alpa tentang kekuasaan
yang mudah diperjelaskan
daripada perlakuan
apabila kita riak mencabar kejujuran
tangkas pengucaoan
namun keterpaksaan
menunding persengketaan.

AL HISYAM,
PTM/TTM.

Tuesday, May 6, 2008

YANG DIJELASKAN

YANG DIJELASKAN

Cukup waktu yang dijelaskan
hanyalah keimanan dan ketakwaan
daripada amalan serta pertaruhan
yang lengkap kesempurnaan

Yang diperjelaskan
telah jauh berlari
meninggalkan firman dan dalil
yang tersungkur jua
ilmu kesempitan
akidah
entah puncak manakah berdiri

Penjelasan
jelas bermula ketika mengenal huruf A, Alif dan Satu
tapi kepandaian
bukan kepintaran yang hakiki
mudah terpintas
dengan keegoan sendiri.

AL HISYAM,
KUALA KANGSAR.

Tuesday, April 22, 2008

DI SEBALIK SELENDANG

DI SEBALIK SELENDANG
(Matan Seorang Pemimpin)

AKU membuka selendang kuning itu
menatap wajah
penuh kemasyurannya
senyuman
dalam menerima panggilan
malaikatul maut

Di sebalik selendang kuning itu
diselebungi kain batik lepas
kaku seorang matan pemimpin
yang sehingga penghunjung nyawanya

Pengorbanan
kemantapan mindanya
melahirkan kewarasan ideanya
menafsir penderitaan dan keruncingan temannya
mengharungi dunia industri

Di sebalik selendang kuning itu
aku teringat juga
betapa kehilangan lagi
permata yang sukar dicari pengganti.

ALONG PR.
PTM/TTM.

- Allahyarham Mustaffa Ismail merupakan matan Exco
Kesatuan Sekerja Pembuat Kain Dan Perusahan Pakaian Perak.

Friday, April 18, 2008

PERCIKAN MALAM

PERCIKAN MALAM

Kiasnya alam terbias percikan malam
mewarnai alam suram semalam
Bandar Di Raja
menguntum senyuman
Jambatan Sultan Abdul Jalil
menanti penuh dalil
Istana Iskandariah bercahaya bintang
bulan tenggelam
silauan fana membangkitkan persaudaraan
pemerintah kini
meneruskan tradisi
yang hakiki
percikan malam menjirus keharmonian sekati
cinta sekilo Darul Ridzuan memberi rezeki
di bawah payung duli TUANKU yang sebudi suci.

ALONG PR

PERALIHAN

PERALIHAN

Belum sampai sepekan perjalanannya
gunung jiwanya
runtuh di tanah semenanjung jingga
pelangi kian membentuk tempua
yang hilang sarangnya

Peralihan
menanti jangan
kicauan burungan
di mana sahaja keriuhan
sepagian
tiada kesunyian
kemalaman tetap kebingitan.

ALONG PR.

Friday, March 28, 2008

KOLAH YANG BERTAKUNG

KOLAH YANG BERTAKUNG

SIAPA yang mengerti
kepada kolah yang bertakung
menyerlahkan kesucian
daripada ketertiban sebuah perjudian
perbahasan

Kolah yang bertakung
walaupun buih terapung
tiada gelodak terkandung
hanya terkepung
kejernihan tersanjung

Kolah yang bertakung
menjajikan impian sejunjung.

AL HISYAM,
KUALA KANGSAR.

Thursday, March 27, 2008

TIDAK TERGAMAK MENCIPTA KEBACULAN

TIDAK TERGAMAK MENCIPTA KEBACULAN

SIAPAKAH yang mentadbir
dan bagaimana alirannya
tidak tergamak mencipta kebaculan
melainkan keikhlasan
ke arah penyatuan

Tidak tergamak mencipta kebaculan
ketika sungai maruah kian terhakis
tebing janji runtuh di mata
hati terasa hirisnya
di lubuk jiwa

Tidak tergamak mencipta kebaculan
selagi peradaban masih bertakhta di istana
adat belum sesat
agama bersantun
daripada amalan

Tidak tergamak mencipta kebaculan
mencurigai kewarasan
purnama
kian terang hingga ke pagi
pertimbangan
muncul menjadualkan duniawi
yang suci.

- AL HISYAM,
Taman Chandan Putri.

Tuesday, March 18, 2008

BILIS

BILIS

Tidak mungkin bilis boleh memakan jerung
bilis
hanya mampu bernafas
dan menghidu dalam kelompoknya

Bilis tetap merintih
walaupun dasarnya
tidak pernah mengimpikan
sebuah keindahan

Bilis
meneruskan kehidupan
sesempit pertaruhannya.

ALONG PR.

Thursday, March 6, 2008

AKU TIDAK PERNAH MERANGKUL IMPIAN

AKU TIDAK PERNAH MERANGKUL IMPIAN

Bisikan pertama mantan seorang wakil rakyat
cukup memberi hikmah
betapa kesukaran ini
tidak pernah merangkul impian
yang suci

Aku tetap sebegini
dalam kroni
tanpa realiti
tidak pernah merangkul impian
walaupun biasnya juga

Aku tidak pernah merangkul impian
melainkan senyap
dan bertanya kepada naluri
yang sering berganda menyakinkan isteri
betapa mantan seorang wakil rakyat
bukanlah daerah permohonan dan kebajikan
tapi kita bulatkan tekad
betapa kroni
yang pasti ibu saudara
bapa saudari sendiri.

AL HISYAM
KUALA KANGSAR.

ACHIK

ACHIK

Kenapa lewat ini
kau ingin kepastian sebuah perjuangan
yang semakin sangsi
daripada peribadi

Bukan aku mencari nama
tapi mengubah idea
menjadi sketsa
mencuba menghantar ke media
walaupun pertaruhannya
tidak pernah aku impikan seadanya

Aku mengasingkan warna
mencetuskan segaris jiwa
lalu mengenali raga
tercabar menuntut gema
yang sering bergoyang jua

Achik
hari ini
terbongkar sekerdil mimpi
yang tidak pernah mahu aku selongkarkan
tapi penjadualan mungkin mempunyai noktahnya

Kau tahu diam itu
menjadi keazaman
melewati saat gentir dunia seni.

Along PR
PTM/TTM

Tuesday, March 4, 2008

MEMIKUL KESANGGUPAN INI

MEMIKUL KESANGGUPAN INI

SAMPAI bila seorang ayah
terpaksa memikul kesanggupan ini
setelah anaknya tergolong
dalam OKU

Sampai bila seorang ayah
memikul kesanggupan ini
seadanya
sekiranya kekuatan kekentalan
sudah terbenam di lubuk hati

Sampai bila seorang ayah
mengusung jiwa
sehingga akhir hayat

Sampai bila seorang ayah
menerima MAHA DUGAAN
daripadaNYA
andainya kasih dan sayang
tetap bertakhta suci jua.

ALONG PR,
TAIPING.

Saturday, February 16, 2008

SESEMPAT WAKTU INI

SESEMPAT WAKTU INI

SESEMPAT waktu ini
aku cuba pergi meninggalkan sepi
yang begitu mendalam menggigit kedangkalan terhiris lagi

Sesempat waktu ini
aku menangkis debaran
meneruskan perjuangan walaupun dugaan
sering menerjah perasaan

Sesempat waktu ini
aku melalui jarak yang begitu jauh
menegah
daripada kecurangan
membidas kehampaan
yang meronta

Sesempat waktu ini
kayakinan tercabul
menyekat keperibadian
yang murni.

AL HISYAM,
KUALA KANGSAR.

Friday, February 1, 2008

AKU BUKAN KRONINYA

AKU BUKAN KRONINYA

AKU bukan kroninya
terpaksa mengikut setiap arahan
walaupun pertalian sudah kukuh
menjadi pembuktian

Aku bukan kroninya
setelah bisikan itu
cukup menyelitkan kebenaran
betapa aku tidak layak
bergelar sebegitu

Aku bukan kroninya
walaupun mereka YB.

AL HISYAM.

MENERIMA SEBUAH PENJUDULAN HAKIKAT

MENERIMA SEBUAH PENJUDULAN HAKIKAT

Kita ketentuan
menduga falsafah yang dikurniakan
kamus
tersedia dalam kehidupan
menerima sebuah penjudulan hakikat
menyaksikan kekuatan
menempuh keraguan
menjemput keluhuran
menjadualkan kewarasan
yang mencabar.


AL HISYAM,
KUALA KANGSAR.

Tuesday, January 29, 2008

BUKAN AKU KECEWA

BUKAN AKU KECEWA

Bukan aku kecewa
andai kencana
pun tidak pernah teruja
derita
yang mengajar hidup berpandukan sapa

Bukan aku kecewa
taubat
hanya pada DIA
biar sujud di sejadah
yang nyata
anak jari
sedia menadah sejahtera
demi meminta seikhlas
daripada DIA

Bukan aku kecewa
naluri
tetap menerima yang suci
meninggalkan keji sentiasa membunuh peribadi.

AL HISYAM,
KUALA KANGSAR.

Saturday, January 12, 2008

DETIK PENGHIJRAHAN INI

DETIK PENGHIJRAHAN INI

DETIK penghijrahan ini
melewati sebuah pendoman peribadi
mengangkat peradaban
kepada maruah
dalam perkisahan hidup
yang mesti aku jelajahi
daripada kelesuan semalam
dan hari ini
aku perlukan suatu perubahan
bagi meninggalkan ketempangan
yang berlalu itu.

Al Hisyam,
Kuala Kangar.

Tuesday, January 8, 2008

MENUNTUT PERIBADI DALAM MUHARAM INI

MENUNTUT PERIBADI DALAM MUHARAM INI

Setelah 1428 Hijrah melewati kronologoinya
kini menuntut peribadi dalam Muharam ini
mengemaskan penjadualan janji
meneruskan wacana kehidupan yang baru
meninggalkan kesisaan itu
daripada mengikuti kemelut
menyangkuti dan menyaluti keranjauan

Terdetik Muharam ini
1429 Hijrah mendorong kembali
pengharapan
yang masih tertunggak
serta menghabiskan baki
dengan keimanan dan ketakwaan.

Al Hisyam,
Dekat Tiang Letrik,
No. 63, Jalan Taiping,
Kuala Kangsar.

Saturday, January 5, 2008

MATA INI

MATA INI

MATA ini
masih terang
tidaklah segelap malam
mencari segaris sinar

Mata ini
bukanlah buta
daripada kedangkalan
yang mendamba penglihatan

Mata ini
punya deria
hingga ke hati
mengerti tentang peribadi
penilaian harga budi

Mata ini
menyaksikan maruah jua
tersingkir kejahilan
tanpa penyerahan
dalam keampunan
memohon penyesalan
yang tersurat keegoan dan keseronokan.

Al Hisyam,
Kubang Halban.