Saturday, December 29, 2007

TERGADAI

TERGADAI

Apakah bumi ini
tergadai
seperti 600 tahun lalu
sekiranya kesetiaan
keluhuran
hilang jujurnya
tercetus angkara
dalang durjana
yang berperibadi
demi meraih simpati
seterusnya tersungkur rebah keaiban di kubur sendiri.

AL HISYAM,
KARYAWAN PK.

Wednesday, December 19, 2007

DALAM KESYUKURAN

DALAM KESYUKURAN

Dalam kesyukuran ini
aku masih mempertikaikan pendustaan itu
yang menjiwai sebuah pengorbanan

Dalam kesyukuran
Hari Raya Korban
pasrah
pinjaman dunia
semakin kerdil
perjanjian kedua
perlukan penjelasn

Dalam kesyukuran
menerima imbuhan di pagi hari
kedamaian terbit jua
walaupun kebanjiran resah
seperti menghimpit seketika impian
namun kerelaan
menjadualkan kerezekian
menjadi bermakna.

AL HISYAM,
TALANG, KUALA KANGSAR.

Tuesday, December 18, 2007

TANPA MENOLEH SEBUAH KESURAMAN

TANPA MENOLEH SEBUAH KESURAMAN

Keseronokan mengalpakan seketika penjadual semalam
daripada menoleh sebuah kesuraman
yang meninggalkan parut
pada wajah kehidupan

Hari ini
keegoan
keterlanjuran
keangkuhan
begitu menurap sepi
kembali kesenduan

Tanpa menoleh sebuah kesuraman
kedewasaan yang tercabar
mencuit kelatahan
menjadi kecelakaan.

Lafanorhazul Istakamisa N.S

Saturday, December 8, 2007

ADAB, MARUAH DAN KEHORMATAN

ADAB, MARUAH DAN KEHORMATAN

APABILA dunia semakin meruncing
dengan kemodenannya
kegairahan mudah alpa di mata
buta di hati

Adab
maruah
dan kehormatan
seperti permainan
yang mudah terpesong
daripada peraturannya

Siapakah mengerti
adakah menginsafi
apakah menjiwai
sebuah pengabaian
tanpa melindungi keindahan iman dan takwa yang semurni diri.

AL HISYAM,
TALANG,
KUALA KANGSAR.

Friday, November 30, 2007

NUKILAN SEBUAH PERJUANGAN

NUKILAN SEBUAH PERJUANGAN

TIADA siapa yang memerlukan kekecewaan
tiada siapa yang mahukan kedukaan
selain
daripada pengorbanan dan kesetiaan
menempuhi benua keranjauan
merentasi onak penodaan

Nukilan sebuah perjuangan ini
nilai dan harga suatu kepayahan
adaptasi yang gemilang
terbilang
cemerlang
demi mengangkat martabat
mencipta keceriaan
walaupun sedia terbatas kedangkalan jua.

Lafanohazul Istakamisa N.S
Kuala Kangsar.

Thursday, November 29, 2007

MIMPI

MIMPI

BUKANKAH mimpi itu
fantasi
bukan realiti yang nyata
setelah kebonusan ini
mendambakan jawapan
daripada sebuah persetujuan
walaupun keuntungan
yang diperlihatkan
di kajang hari
begitu membosankan

Bukankah mimpi itu
fantasi segala-galanya
AKHIRNYA
kecewa
dengan penantian.

Latiff PR.

Thursday, November 15, 2007

KEBOCORAN

KEBOCORAN

Mampukah menutup sebuah kebocoran
yang begitu luas keterbukaan
tanpa alas menyorokan keterasaan
daripada menerima pembalasan
sebagai hikmah semalam
yang perlukan peringatan
sentiasa terdetik setiap kejadian.

Lafanorhazul Istakamisa N.S

RAUDAH

RAUDAH

Jumaat ini
aku menyelami dasar peribadi
yang terhapus
daripada pernafasan keimanan
jauh merindui ketakwaan

Apakah Raudah yang muncul di benak penyesalan
mengiringi nawaitu
dalam kejernihan hari
yang sekilas nyata
mahu menempati peribadi
kepada sebuah persetujuan
apakah kesanggupan itu
menjadi kisah benar
esok
yang belum ketentuan-Nya.

Al Hisyam,
Talang, Kuala Kangsar.

Sunday, November 11, 2007

DALAM KELELAHAN SAHUTAN SUARA LUHUR

DALAM KELELAHAN SAHUTAN SUARA LUHUR

DALAM kelelahan sahutan suara luhur
masih mampu bernada jujur
inginkan pinggirnya
diakhiri sinar
walaupun kabur itu
tidak pernah dipinta sebelum ini

Dalam kelelahan sahutan suara luhur
pasrah memohon dendam di luar sebutan peribadi
meninggalkan terus sepi
tanpa nadi
yang berdenyut
menjadi hampa.

LAFANORHAZUL ISTAKAMISA N.S
KUALA KANGSAR.

Friday, November 9, 2007

MELAYU

MELAYU

Dalam mengimbangi sebuah nasib bangsa Melayu
sedarkah segelintir hidup
yang daif
hilang
dari pandangan kita
yang begitu asyik menggila
tentang agendanya
melalui belukar sepi jua
emas sekarat belum tertebus
layan lara di pinggir mimpi
akan sedih tidak punya henti
yang tersandar di palang jeti
usah bertanya perahu mampu berkolek lagi.

- AL HISYAM,
KUALA KANGSAR.

BUBUR

BUBUR

Setimpalkah takungan itu
yang segelintir terkuah
di nasi
akhirnya menjadi bubur

Sekiranya agihan
antara kuah dan nasi
telah menjadi bubur juga

Sedar atau sengaja lupa
begitulah agihan
yang menjadi bubur


Bubur itu
sebenarnya impian
yang kabur
ingin melihat kubur
bernisan luhur
tapi yang subur
jujur tentang seperiuk nasi
tanpa kuah
yang berlimbang
menjadi bubur juga.

ALONG PR.
PTM/TTM.

Saturday, November 3, 2007

AWAL NOVEMBER DAN BONUS

AWAL NOVEMBER DAN BONUS

PERIT semalam baru lagi sembuh
sudah terasa akan berulang lagi
apakah awal November ini
belum temui sebuah keceriaan
wajah kegemilangan
daripada surah kejujuran

Awal November ini
bonus begitu kencang
dalam sanubari beratus orang
yang menanti
picisan belum ketentuan
mendapat realiti-Nya.

Latiff PR.

Saturday, October 20, 2007

SALAHKAH AKU MEMILIKI SEBUAH KASIH

SALAHKAH AKU MEMILIKI SEBUAH KASIH

Salahkah aku memiliki sebuah kasih hanya yang SATU, tanpa sanggup menduakan rindu kecuali seorang sahaja yang sentiasa di hati. Tasbih tetap membutirkan keindahan, mengingatkan kejauhan atau kedekatan aku padaNya.

Salahkah aku memiliki sebuah kasih? Apakah kau mengalah dengan kasih yang aku cuba berikan? Tak mampukah kita melayari bahatera cinta sehingga akhirNya? Hanya kau yang aku impikan. Yang sentiasa kehausan kemesraan, inginkan belaian manja. Sesungguhnya aku ingin memiliki sebuah kasih yang luhur dan jujur.

Salahkah aku memiliki sebuah kasih lagi, walaupun umur semakin berusia?

ALONG PR.

SYAWAL DI BULAN

SYAWAL DI BULAN

SYAWAL di bulan
merangkul kecemerlangan
mendaki harapan
yang semalam punya impian
akhirnya mencapai keinginan
wawasan tidak pernah menoleh kegelapan
ikut serta dalam visi penerokaan
pasti kajian
kepada kejayaan

Angkasawan begitulah gelaran
lawatan bukanlah gagasan
Syawal di bulan
sudah menemui pertemuan.

AL HISYAM.

Thursday, October 18, 2007

PENGHULU HARI

PENGHULU HARI

Jumaat ini
aku mencari hidayah
melalui penyerahan
bersubahat
dalam menghadiahkan iman dan takwa
merebuti keinginan
menghargai kesyukuran
melewati kesinambungan waktu
sehingga setiap kali penghulu hari hadir
pasti pasrah menyendiri
mencapai hajat
serta menerima hikmah
yang abadi.

AL HISYAM,
KUALA KANGSAR.

Wednesday, October 17, 2007

MENINGGALKAN SEBUAH PERMATA

MENINGGALKAN SEBUAH PERMATA

Maafkan aku
sekiranya Syawal ini
meninggalkan sebuah permata
di pinggir kasih
tidak mempedulikan cahaya rindunya
semakin diselimuti sepi

Bukan aku tidak mahu Syawal ini
membawa permata pergi
namun kilaunya
pudar jua.

- AL HISYAM.

BUTANG-BUTANG LANGIT, SYAWAL DAN JALAN TAIPING

BUTANG-BUTANG LANGIT, SYAWAL DAN JALAN TAIPING

Butang-butang langit membasahi petang Syawal
di jendela ini
termanggu peribadi
dalam mengingati tragedi
di Jalan Taiping
yang sering meragut maut
penghuni duniawi

Sudah 15 tahun
aku tidak merenung
serta termenung di jendela
menatap deretan kenderaan
yang sibuk
mengira jenis
menghimpun nombor yang serupa

Kini seperti dulu
walaupun Lebuh Raya Utara Selatan
begitu lebar
dengan kemudahan
yang lancar
bersama perjalanannya
tapi Jalan Persekutuan jua
menjadi impian

Menanti teman
lewat petang
sehingga butang-butang langit
tidak lagi
turun
akhirnya aku tewas
menjadualkan pertemuan.

- AL HISYAM,
JALAN TAIPING, TALANG,
KUALA KANGSAR.

Monday, October 15, 2007

CITRA SYAWAL

CITRA SYAWAL

Begitulah citra Syawal
yang terbina
daripada bait-bait rasa
mengubah
menjadi sajak dan seloka
menyambut mesra
kegemilangan
dengan iman dan takwanya

Menginsafi suatu perjuangan
tidak seharusnya ditinggalkan begitu sahaja
tanpa pendoman dan sempadan
walaupun sesekali alpa
kepada ketekunan
terlanjur
menghiasi keindahan peradaban
kepudaran adat
yang semakin dibeliti kecurangan.

AL HISYAM,
KUALA KANGSAR.

Friday, October 12, 2007

MERCUN KONKRIT

MERCUN KONKRIT

Beginilah kelaziman sebuah desa
setiap kali malam Syawal
bergemalah bunyi mercun konkrit
seruluh alam
dan sekitar desa jiran
turut kedengaran
keriuhan letupan
seperti peperangan meletus

Ketidakan kebunyian itu
suatu kebosanan
kesunyian mungkin terasa
keterasingan
akan menjelma
andai Syawal
hilang kerutinan
yang penuh mulia

Mercun konkrit
buatan manusia
menggegar malam Syawal
menyambut kehadiran
dalam kemanisan dan keriangan.

AL HISYAM,
Talang Tembok,
Kuala Kangsar.

Thursday, October 4, 2007

PERTARUHAN SEBUAH PENYATUAN

PERTARUHAN SEBUAH PENYATUAN

Kita harus pergi meninggalkan derita
membiarkan penyesalan
membina kembali kekuatan
pertaruhan sebuah penyatuan
yang semakin gentir di benteng kehancuran
andainya dinihari ini
kita sedar
kesilapan
kesukaran
perlukan dimensi keinsafan
untuk menatap esok penuh kecemerlangan
walaupun kita terus alpa dalam kekecohan
membetulkan ketempangan
yang tersungkur jauh menunda sebuah keceriaan
membentuk kehormatan
menandingi keangkuhan di mata
melindungi kegusaran di hati
terketar di bibir.

AL HISYAM,
PTM/TTM,
KUALA KANGSAR.

BINTANG SEPULUH

BINTANG SEPULUH

TERCAPAIKAH aku mencapai
bintang sepuluh di langit abadi
melewati dunia
yang riuh teknologi dan kemajuan
dengan permainan kepalsuan
dengan lakonan kehinaan

Bintang sepuluh
seperti umah yang lain
menanti
mencari
meneruskan bakti diri
demi sebuah itikad suci
memohon di hadapan kiblat
bersujud
berwirid
menuai kasih yang berperibadi.

AL HISYAM,
KUALA KANGSAR.

Saturday, September 15, 2007

KESESATAN

KESESATAN

Menghimpun warna dalam keceriaan
mencarik tisu peradaban
daripada kelembutan kerinduan
yang tandus kejahilan

Apakah kedengkian di mata
yang bernanah di lutut
tidak pernah bersalut keinsafan
yang menunjuk sebuah kesesatan itu
mudah meronta di hati
gelora mencetuskan pertanyaan
betapa seorang ibu
begitu lumpuh keimanannya
sering mencakar kerakusan kemaksiatan
yang sering ketakutan
terhasut kebaculan anak-anak kepudaran ketakwaan
asyik kepuraan
dalam merealitikan suatu kebenaran
tersentuh jua
kesilapan yang ternoda
daripada kebakhilan kehidupan.

AL HISYAM,
Kubang Halban,
Enggor.

PAGI RAMADAN HUJAN MENDUGA SEBUAH IDENTITI

PAGI RAMADAN HUJAN MENDUGA SEBUAH IDENTITI

DALAM perjalanan menuju di daerah kejayaan
pagi Ramadan ini
hujan menduga sebuah ideniti
meneruskan kelembapan yang membasahi tubuh
kesejukan menyelimuti kekalutan janji
restu seorang isteri
terbatas jua
aku tak sanggup memintas keraguan
mencabar persembunyian
yang akhirnya terlontar keaiban
tanpa Ramadan
dapat merangkul keimanan dan ketakwaan.

- basah kuyup dalam perjalanan ke Taiping
4 Ramadan

AL HISYAM,
Batu 17, Jalan Taiping, Kuala Kangsar.

Sunday, September 2, 2007

KETIKA AKU MENEGUK SECANGKIR KENYATAAN

KETIKA AKU MENEGUK SECANGKIR KENYATAAN



Waraskah peradaban

dalam penitian adat

yang semakin tersingkir

daripada wadah kebenaran

ketika aku meneguk secangkir kenyataan

merangkul kecintaan

mengingati keikhlasan

terbias jua

berpura menjadualkan pembohongan

berwarnakan keegoan

tanpa menyelit kesedaran

yang berpenghuni

sehingga kemanjaan dijual murah

mengabaikan maruah pengorbanan terdorong kealpaan.



AL HISYAM,

KUBANG HALBAN,

ENGGOR, PERAK.

Friday, August 31, 2007

DI HUJUNG OGOS

DI HUJUNG OGOS

Tepat pukul dua belas tengah malam
bendera orang putih UNION JACK turun lesu
31 Ogos 1957
50 Tahun yang lalu
menempa keceriaan berlagu jua

Telah beratus tahun kita tercabar
berselisih ganti penjajah
yang memusnahkan kedamaian tanah air
daripada Portugis
sehingga Inggeris berlalu juga

Generasi kini
harus sedar
kita semakin terhimpit si penjajah baru
yang ingin mengecewakan harapan

Kita bangkit
bersama kerelaan dan kesedaran
demi kelalaian serta kealpaan
yang membunuh sendiri
keaiban ini

Di hujung Ogos
masih punya warita yang perlu diterjemahkan
bagi warisan yang kita tinggalkan.

AL HISYAM,
KUALA KANGSAR.

Wednesday, August 29, 2007

ZAHARI HASIB

ZAHARI HASIB

Terima kasih Zahari Hasib
penyair tanah air

Sudah tiga minggu
menghubungi aku
supaya meneruskan petikan naluri yang masih kaku
jari dan komputer mahu berketik dan berlagu
sukar aku menulis puisi yang pasti aku mendagu

Janji aku belum jua
mendapat restu
surat khabar setiap minggu
tidak menunjukkan sesuatu
menyerlahkan aku
bersama puisi dalam karya yang tetap membisu.

Al Hisyam,
KARYAWAN PK.

MERDEKA DALAM MISTERI

MERDEKA DALAM MISTERI

50 Tahun kita menyambut ulangan realitinya
hari ini
aku meracau jauh
merdeka dalam misteri
sudah 18 tahun aku berbudi di industri
akhirnya kebuntuan
mencubit juga
lengan kehidupan
teman membunuh pengakuan
menyembunyi kebenaran
merelakan kegilaan
merasuk raksun
yang sedia tercabar.

Apakah merdeka dalam misteri
punya gawat tersendiri
mencuba kesucian tercabul pergi.

Al Hisyam,
Kuala Kangsar.

Tuesday, August 7, 2007

JUDUL SEBUAH HATI

JUDUL SEBUAH HATI

JUDUL ini
mengingati keperitan OGOS
dalam sebuah hati
yang mengimpikan isinya
mengeluarkan wadah berpunjangga

Mampukah OGOS
menyelak kembali judul ini
mengenali perjuangan
yang belum punya penyudahnya

Seringkas judul ini
menjadualkan OGOS
bersama semangat yang tulen
menghalusi setiap keunikan sebuah kesabaran.

Al Hisyam,
Talang, Kuala Kangsar.

Friday, July 27, 2007

SUKAR AKU MENCARI MAKNA INI

SUKAR AKU MENCARI MAKNA INI

Sukar aku mencari makna ini
setelah termakan racun kebencian
yang terhasut
dari kebaidaban

Sukar aku mencari makna ini
menyuluh peribadi dalam sepi
menyuntik mimpi
bersama realiti.

Saturday, July 7, 2007

50 TAHUN KEMERDEKAAN INI

50 TAHUN KEMERDEKAAN INI

Keterampilan Malaysia di kening dunia
memangkinkan kesejahteraan semata
50 tahun kemerdekaan ini
menjelaskan kepenatan dan kepayahan
perjuangan silam
daripada era kesultanan Melaka
sehingga wasasan 2020
yang tidak luntur warna kemilaunya
walaupun kejatuhan pasti dijangka
tapi jangkaun lalu
melabelkan renungan
yang bertamadun.

Al Hisyam,
Kuala Kangsar.

Friday, June 29, 2007

TERTUNGGAK

TERTUNGGAK

Bulan tidak pernah merayu
supaya mencari kesahihan
bulan tidak pernah menyatakan
kerunsingan setelah di hujung waktunya
bulan tidak pernah mempersoalkan
tentang kehampaan

Tertunggak itu
yang menghukum penyesalan
terlanjur memiliki kebosanan
tergelicik di tangga peradaban
terserandung di bendul keaiban

Sinarnya sukar menembusi keceriaan
gelapnya mengaburi kebetulan
kekuatan tersungkur dalam kemelut kecurigaan.

Al Hisyam,
Kuala Kangsar.

Tuesday, June 26, 2007

MENGHINDAR SENDU

MENGHINDAR SENDU

Seketika dalam rindu
aku terkelu
mencari seribu dinar itu
menghindar sendu
mencakar resah dalam kalbu.

Al Hisyam,
Kuala Kangsar.

Saturday, June 23, 2007

MELUNASI SEBUAH PUISI

MELUNASI SEBUAH PUISI

LUAHAN yang tersekat
daripada rasa dan nikmat
melunasi sebuah puisi
mengerti
akan isi
dalam hati

Berselisih sepi
mengusir hampa
angin nyaman seketika
menghembus penawar lara.

Melunasi sebuah puisi
kekerapan menyatakan seloka peribadi
luahan yang terpingga
menjadi suatu bait yang perlu diprosakan.

Al Hisyam,
Kuala Kangsar.

Friday, June 22, 2007

SUARA KITA 11

SUARA KITA 11

Teruskan menghayati pengertiannya
menerusi bait-bait puisi penuh warna
antara seloka
pantun
syair
melewati raksun
yang melamari sejurus kemerdekaan ini
Suara Kita
masih menanti kunjungan penyair
menuntut perjuangan
daripada tinta
yang mencetuskan maknanya
tanpa perhentian
dan merelakan janjinya.

Al Hisyam,
Kuala Kangsar.

Wednesday, June 20, 2007

SEBELUM SUBUH

SEBELUM SUBUH

Wirid terbutir
dari senyap jiwa
dinihari dilewati pasrah
sebelum subuh menawar tahjud
hajat
syukur
tasbih tawakal ILLAHI
meneruskan adab menyentuh bumi fana ini.

Friday, June 15, 2007

KECELARUAN

KECELARUAN

Bermukimnya jua
kebetulan dalam keresahan
kecelaruan
menumpang kesenduan tak berhaluan
menafsir warna
pudar di pinggir senja
pelangi
menguji kemahiran minda
di malam yang duka.

Al Hisyam,
Kuala Kangsar.

Tuesday, June 12, 2007

MERUNGKAI KESANGSIAN MERANTAI KEYAKINAN

MERUNGKAI KESANGSIAN MERANTAI KEYAKINAN

Melangkau janji yang tidak pernah terjangkau
bila menepati sasarannya
sendi impian terseliuh
daripada pemulihan

Merungkai kesangsian merantai keyakinan
mencangkul kecekalan
menebus kedaifan
yang melilit kecemerlangan
mencapai kemuncak keceriaaan di malam kegemilangan.

Al Hisyam,
Shahrena Kuala Kaangsar.

Thursday, June 7, 2007

ANTARA DERITA, KEKEJAMAN DAN KECELUPARAN

ANTARA DERITA, KEKEJAMAN DAN KECELUPARAN

Mengingati kesilaman
menghargai keperihan
antara derita yang keperitan
kekejaman dan keceluparan
mengajar peradaban
dalam keilmuan
melunasi kewarasan

Kesilapan terpapar
kehambaran tersasul
merenungi kapsul kasih
walaupun pahit ditelan jua
kemesraan
erat di mata
mudah melekat di hati.

Al Hisyam,
Jeti Sayong,
Kuala Kangsar.

Wednesday, June 6, 2007

ILMU, KASIH DAN PERADABAN 11

ILMU, KASIH DANPERADABAN 11

Langkah yang lima
membawa mimpi dalam realiti
menempa kesetiaan
mencari kebenaran
merelakan keimanan
meneguk ketakwaan
menyerlahkan keikhlasan
daripada keyakinan
demi martabat bangsa dan tanah air

Ilmu, kasih dan peradaban
berkait kedalaman
memaut kesejahteraan
mengaut keuntungan
meraut kesungguhan
merangkul kesucian.

Al Hisyam,
Bumbung Arena,
Kuala Kangsar.

PERHENTIAN BAS KUALA KANGSAR DAN SEBUAH PUISI

PERHENTIAN BAS KUALA KANGSAR DAN SEBUAH PUISI

Menanti seorang penyair ibu kota
perhentian bas Kuala Kangsar
seketika mengimbau kenangan lampau
sesungguhnya di sini
tercetus pertemuan
daripada semangat dan kesetiaan
meneruskan perjuangan
yang tidak punya kesudahan

Teman kembar sering terbibir pemandu sapu
mudah terkeluar
menyapa
memahami perhentian bas Kuala Kangsar
menjadikan isi hati serta luahan minda berkongsi
merentasi keinginan
membebaskan keceluparan
yang merusuh kebatinan

Perhentian Bas Kuala Kangsar Dan Sebuah Puisi
terperangkap dalam gerimis petang
sidangnya membawa kemesraan berpanjangan.

Al Hisyam,
Kuala Kangsar.

Tuesday, June 5, 2007

MENCUBA MENCARI TEDUHAN KEBETULAN

MENCUBA MENCARI TEDUHAN KEBETULAN

Gambaran itu tidak pernah mendamba keinsafan
mencuba mencari teduhan kebetulan
di celah kehibaan dan keseliuhan

Berlumba di stadium kenafsuan
rakus dalam ketamakan
angkuh melumpuhkan kebenaran

Al Hisyam,
Galeri Puisi,
Simpang Tiga Talang.

Friday, June 1, 2007

LIA HAFIZA 11

LIA HAFIZA 11

Keterbelitan itu
menghanyutkan bahtera cinta
terus ke tengah samudera
LIA HAFIZA
karam
dalam kerimasan kerinduan
pulau kasih
hanya tinggal bayang sepi
yang menghukum kemesraan.

Al Hisyam,
PTM/TTM.

KETERPAKASAAN INI TAWAKAL DIRI

KETERPAKSAAN INI TAWAKAL DIRI

BENARKAH tidak pernah sesat
dalam mencari sebuah ketentuan yang suci
apakah keterpaksaan ini tawakal diri
menyerlahkan pengabdian
mencintai keluhuran
menjiwai ketaatan.

Al Hisyam,
Kubang Halban.

Wednesday, May 30, 2007

LORONG YANG MEREKAH

LORONG YANG MEREKAH

Bagaikan ombak di laut
lorong yang merekah
di belakang sebuah pembaharuan

Tidak seperti yang bersyarat
kemudahan hilang fungsi
kemantapan melalui kemendapan

Siapakah harus dicetuskan kelalaian
daripada kebetulan dalam kebenaran
menyaksikan lorong yang merekah
menjadi isu terperinci.

Al Hisyam,
Chandan Putri,
Kuala Kangsar.

Sunday, May 27, 2007

SUARA KITA

SUARA KITA

Karyawan Pk mengorak janji
ingin meneruskan kewarasan
dalam mencetuskan ketertiban yang berbudi
kemerdekaan terkini
menyaksikan antologi puisi
nukilan suara kita
menghayati surah perjuangan terdahulu
menghadapi lintuk
tunduk
suntuk
setiap waktu itu dan sehingga Jalur Gemilang ini
menjadi sebuah perjudulan abadi.

Al Hisyam,
Karyawan Pk, Sudut Bandar Di Raja.

DALAM KELELAHAN AKU MASIH MENGENALI PERIBADI

DALAM KELELAHAN AKU MASIH MENGENALI PERIBADI

Walaupun aku berada di sudut lesu
bila malam jaga bersama warna silau
bila siang tidur ketidaktentuan
tapi dalam kelelahan aku masih mengenali peribadi
seakan hilang bayangan indah

Sesudah rindu akhirnya terubah
matahari tunduk
bulan tegak
bintang beridi
menerusi realiti

Al Hisyam,
Kuala Kangsar.

Saturday, May 26, 2007

PERNAHKAH KAU BERTANYA TENTANG LUKA YANG MENGHIRIS HATI

PERNAHKAH KAU BERTANYA TENTANG LUKA YANG MENGHIRIS HATI

SIAPAKAH mahu merestui sebuah kecurangan
melewati kehampaan
lalu meniduri sangsi janji

Pernahkah kau bertanya tentang luka yang menghiris hati
kala ketawa sinis
menghumban sepi

Seandainya aku mengerti tentang kesabaran
menjadualkan kemanisan
menjiwai keindahan kebahagiaan

Hanya setelus peribadi
seringkali mengenali erti peradaban
dalam mencintai sebuah keikhlasan berbudi.

Al Hisyam,
Dekat Tiang Letrik No. 63,
Jalan Taiping, Talang,
33000 Kuala Kangsar.

Wednesday, May 23, 2007

GANDINGAN INI

GANDINGAN INI

GANDINGAN INI
perlu teguh
perlu yakin
perlu sabar
menempuh perjuangan
walaupun kita tidak terkecuali
menerima hampasnya

Biarlah mereka menyerlah
dengan modal suara dan kesungguhan
mencipta kejayaan
memberi pulangan
yang manis
demi maruah terbela jua

Begitulah kenaikan
yang sinis
kepada kelainan jiwa
andai kupasan itu
tertuba
daripada harapan

Namun sanggupkah menyiksa peribadi
menilai keajaiban yang tersaji
setelah kita asyik meronta mencari kesilapan
tanpa mendongak malam yang masih punya bintang lagi.

Al Hisyam,
Kuala Kangsar.

BUKAN AKU MAHU MENGHURAI SEPI LAGI

BUKAN AKU MAHU MENGHURAI SEPI LAGI

BUKAN aku mahu menghurai sepi lagi
dengan ketiadaan kepercayaan
menempuh kemaluan
tanpa sejenak mengenali keinginan
dalam meiniti perubahan
walaupun percubaan
kepunan jua
meyaksikan kebenaran bertamu

Bukan aku mahu menghurai sepi lagi
setelah kelekaan
terbabas menuju lurah ilusi
yang menghumban kembali
naluri kehampaan.

AL HISYAM,
TAIPING.

Friday, May 18, 2007

CSKK

CSKK

Bertemu seorang teman yang telah lama tidak bersua
Rumah Rehat Kuala Kangsar menemukan segala-galanya
melihat pertunjukan panjut seketika
mengenang kembali kisah di sekolah mengusik jiwa

CSKK
tertera bersama perkataan panjut
tiba-tiba hati sebak ceria
andainya khabar cerita
yang bekerjasama mengatur dan mencipta
adalah bekas serta anak CSKK jua

Begitulah seorang teman yang terlalu gembira
betapa yang lain turut serta
dalam sebuah kapal satu nakhoda
menuntut keilmuan bercita rasa mulia.

Al Hisyam,
Rumah Rehat Kuala Kangsar.

The Ship Is More Then The Crew.

Thursday, May 17, 2007

LIA HAFIZA

LIA HAFIZA

ANTARA iman dan takwa
cuba mendokong cinta
antara dua dunia yang punya rahsia

LIA HAFIZA
hilang kewarasan
timbul ketidaktentuan

Terjun dalam lubuk ilusi
lemas
hanyut sepi tanpa relaiti

Terpingga juga
yang melihat gelagat ini
mencari makna LIA HAFIZA.

Al Hisyam,
Desa Industri Kuala Kangsar.

CAHAYA PERNIKAHAN

CAHAYA PERNIKAHAN

BANDAR DI RAJA malam gelita
kini ceria seketika

Kuala Kangsar menerima kehadiran puteri
suatu hari
menjadi permaisuri


Darul Ridzuan sembah rakyat tak terperi
di atas nama ketaatan dan kesetiaan terbukti
cahaya pernikahan Raja Muda dengan puteri
cukup menyakinkan hati
betapa esok matahari
punya adab dan adat yang tak mati

Daripada Kesultanan Melayu Melaka
sehingga waktu ini
takhta Di Raja
masih punya singgasana yang terpuji
bagi mewarisi kedaulatan negara dan negeri

Kita mengharapkan bersama doa
Darul Ridzuan terus gah bersama sinar bulannya
di langit bertaburan bintang
yang menyinari sehingga akhirnya.

Al Hisyam,
Bandar Di Raja Kuala Kangsar.

Wednesday, May 16, 2007

WAKTU YANG SEKERDIL INI

WAKTU YANG SEKERDIL INI

WAKTU yang sekerdil ini
alam rasa mudah terasang
kala mengingati betapa kesungguhan dan kegigihan mereka yang muda dan guru
menampilkan perjuangan dalam dunia yang semakin mencabar
dengan teknologi

Hari ini
termetrailah pernikahan antara Raja Muda Perak Dan Zara
semoga adab dan adat Darul Ridzuan
semenjak lalu
bermukim jua
menggariskan kerajaan
rakyat
kesultanan
pada mata Melayu.

Al Hisyam,
Karyawan Pk Bandar Di Raja.

Saturday, May 12, 2007

MEGA SYURGA

MEGA SYURGA

AKU sedar betapa ibu
begitu perlu dalam waktu sendu
memuncak kepada rindu

Bagaimana mahu melewati sebuah kasih ibu
ketika aku kehilangan seketika peradaban
mencungkil kehormatan
menjadi mega syurga esok
yang pasti pasrah dalam perjalanannya

Sesungguhnya ibu
sarat mengandungku
pedih mengeluarkan aku di dunia ini
sanggupkah aku kembali
memuntahkan hiba
menoreh jua
jiwanya

Tanpa keikhlasan ibu
aku tidak seperti budak yang mengenal Alif Ba Ta
serta A B C
kini hari ini
aku memiliki nur sendiri.

Al Hisyam,
Talang, Kuala Kangsar.

TAK TERBALAS BUDI

TAK TERBALAS BUDI

IBU, bukan isteri, bukan kawan tapi insan yang istimewa daripada sebahagian kaum hawa. Sempena HARI IBU aku mengucapkan semoga ibu sentiasa ceria dan terus menghadapi kehidupan ini, penuh rintangan.

Andainya susu yang titis di bibir semenjak lahir sudah cukup mengambarkan betapa ibu syurga kehidupan. Syurga di bawah tapak kaki ibu, jangan sesekali kita menyakitinya. Tak terbalas budi rasanya.

Al Hisyam,
Padang Rengas.

Thursday, May 10, 2007

BOLEHKAH KEBETULAN MERANGKUL KEBENARAN

BOLEHKAH KEBETULAN MERANGKUL KEBENARAN

BOLEHKAH kebetulan merangkul kebenaran
mencipta ketinggian darjat
memperolehi kembali peradaban dan kehormatan
setelah tersungkur terus

Hanya keyakinan dalam inspirasi
membawa keunggulan yang berdimensi
ke arah menegakkan kesimpulan berbahasa
tanpa menimbulkan kecurigaan.

Al Hisyam,
Taiping, Perak.

. Setahu aku kegagalan semalam perlu diteliti dengan graf petunjuk dan hari ini mereka pasti cergas mencari makna usaha semoga dapat mencapai realiti yang sebenarnya.

PASTIKAH AKU YANG TERSASAR

PASTIKAH AKU YANG TERSASAR

PASTIKAH aku yang tersasar lagi
mencari titik tolak kehidupan yang sempurna
melampaui kedayusan
lalu meninggalkan kehimpitan diri
mencurigai keserasian rindu.

Al Hisyam,
Tembok Keretapi Kubang Halban.

Thursday, May 3, 2007

MELUKIS ILUSI

MELUKIS ILUSI

BUKAN aku tidak mengerti
subuh tadi
kau mencoret rasa hati
meluah segala isi
yang tidak mampu lagi
di telan dan dinikmati

Sesungguhnya aku ingin kau tahu
betapa aku yang sering tersendu itu
tidak mudah tersentuh pilu
kecuali berkali-kali tersentak ragu
lalu mengucap rindu
tanpa jemu memohon kerelaan dan kemaafan bertamu

Walaupun pelangi
yang hadir selepas hujan
belum pasti kekal
melukis ilusi.

Al Hisyam,
Kubang Halban,
3 Mei 2007.

Monday, April 30, 2007

TUNGGUL

TUNGGUL

KITA bukan tunggul yang rapuh
tapi tunggul berakar
boleh tumbuh segar
sehinggakan berzakar

Sanggupkah kita dilaknati
dibakari
dihasuti
difitnahi
walaupun tunggul
yang tetap di sudut bisu
unggul
dalam wacana hari

Kita masih punya fikiran
perasaan
yang tidak gentar
namun tetap mengerti tentang kepincangan
bukan takut atau gentar
cuma undang-undang sering di mata hati.

Al Hisyam,
Taiping, Perak.

Saturday, April 28, 2007

LESEN

LESEN

AKHIRNYA SI POLAN itu, berjaya dalam ujian undang-undang berkomputer. Maklumlah mencuba berkali-kali. Si Polan bersyukur kepada ALLAH. Dan berterima kasih kepada kawan-kawan yang selalu menyindir dan menghinanya. Si Polan telah bertekad yang dia tidak akan mengambil lesen terbang. Walaupun Si Polan telah tua.

Bukan waktu terdahulu, Si Polan tidak mahu mengambil lesen tapi Si Polan tidak mampu mengambilnya. Kini Si Polan harap dapat pula meneruskan ujian yang lain pula. Semoga Si Polan berjaya mendapatkan lesen walaupun terpaksa menempuh pelbagai rintangan. Tanpa menggunakan jalan yang singkat bagi kemudahan tersebut.

Friday, April 27, 2007

BISIK TEMAN

BISIK TEMAN

Bisik teman kepada aku
semalam baru pulang
daripada Malim Nawar
sedikit waktu lalu menerima
sebuah panggilan
yang mahukan aku turut serta
dalam pengerakan itu

Bisik teman lagi
sanggupkah mencari kesinambungan
yang tidak langsung punya erti
asyik mengumpul janji
tapi tumpul sendi

Bisik teman
mampukah kita melangkah jauh
atau semata-mata pisau di mata
tanpa asahnya
menjadi tajam setia.

Al Hisyam,
Perhentian Bas Kuala Kangsar.

Wednesday, April 25, 2007

POLITIK

POLITIK

AKU risau
aku sasau
aku langkau
politik yang mendekati jutaan demokrasi
mencetuskan reformasi
menjanjikan balasan budi


Politik
kenapa aku risau
aku sasau
aku langkau
sesungguhnya kebaikan
keburukan suatu dimensi

Apakah politik tulus
lurus
pulus
sempurna di hati seorang pemimpin.

Al Hisyam,
Karyawan PK.

TERIMA KASIH ISTERI

TERIMA KASIH ISTERI

1 Mei 2007 bersamaan hari BURUH genaplah ulang perkhawinan kita yang ke 13. Semoga ALLAH akan mengekalkan kita berdua sehingga akhirnya. Pengorbanan, kejujuran, kesetiaan dan semangat telah membawa persefahaman yang baik. Walaupun tidak terlepas daripada dugaan dan ujian yang gentir. Bukan mahu aku mengutarakan kisah peribadi sebenarnya dalam Alam Rasa.Com ini, tapi inilah hakikatnya.

Ainun, Ayum, Azfar dan Aziq mengusik kemesraan kita. Tanpa mereka teratak kita sunyi. Tambah pula kedegilan serta kenakalan membuatkan kita menjadi lebih dewasa. Menegur dan menasihati tetap kita tampilkan. Isteriku, pernah kau kata yang anak itu, lebih kasihnya daripada kau tapi bukankah aku telah buktikan. Lihat kanja kau yang tidak lepas daripada pangkuan kau.

Maafkan aku isteriku, sekiranya selama 13 tahun aku tidak dapat memberi segala hajat dan impian kau. Namun aku cuba jua demi menjernihkan tasik kebahagiaan kita. Walaupun kocakan itu punya buih yang membosankan.

Isteriku, sebaik sahaja kita bernikah sehingga hari ini, kau masih sudi memahami perjuangan yang aku lalui. Melepaskan aku pergi menghadiri seminar, bengkel, mesyuarat dan lain-lain. tanpa buruk sangka.

Sunday, April 22, 2007

BAGAIMANA MAHU KAU CARI

BAGAIMANA MAHU KAU CARI

Sukar kau mencari aku
selepas satu persatu
menghubungi setiap pertalian tapi sibuk membisu

Bagaimana mahu kau cari
di Kubang Halban
di Talang
atau di Chandan Puteri


Mengapa kau terlupa
tentang bancian mesra
yang sering tercipta
lalu leka
menghujani dusta
tanpa bijak berkata ya.

Al Hisyam,
No. 742, Persiaran 17, Fasa 3,
Taman Chandan Puteri,
33000 Kuala Kangsar.

Wednesday, April 18, 2007

BAHASA MALAYSIA

BAHASA MALAYSIA

Ayuh mari kita dayung sampan
hingga ke kuala
berpayung dan berbudi
memenuhi impian

Bahasa Malaysia
martabat kita sejati
merangkumi adab dan sopan
berperibadi
demi menghargai bahasa kebangsaan
yang terpuji.

Al Hisyam,
Karyawan Pk
Sudut Kuala Kansgar.

BAHASA

BAHASA

Sekarang ini, telah banyak diperkatakan tentang isu bahasa. Benarkah Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi rakyat Malaysia? Apakah bahasa Malaysia tidak sesuai dalam martabat rakyat yang berbilang kaum? Tidak dapat disangkal bahawa bahasa Inggeris itu penting pada dunia yang global ini.

Sejauh manakah pendirian GAPENA dan DBP dalam wacana kerajaan melaksanakan program tersebut. Kepenggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran matematik dan sains oleh kerajaan. Adakah rungutan dan bantahan? Apakah pelajar dapat mengikuti aliran ini serta tidak membebankan mereka?

Sememangnya kita akui sebelum ini, kerajaan telah mengadakan mata pelajaran bahasa Inggeris di dalam mata pelajaran lain. Awal 70 an lalu. Ketika itu, pelajar boleh mengikutinya.
Sehingga hari ini, di kalangan mereka yang melewati tahun tersebut dapat bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris walaupun tidak sebaik mungkin tapi boleh mengajar anak-anak mereka sendiri mengenali ayat dan ertinya.

Bilakah isu bahasa ini akan selesai? Pertikaian terus berlaku. Nampaknya kita tidak mempunyai satu arah penyelesaian bagi memantapkan bahasa itu, sendiri.

99 KURANG SATU SA

99 KURANG SATU SA

99 kurang sa
belum cukup satu kuala sungai

Sungai Perak meninggalkan bekas sejarah
yang perlu disemak kesan tapaknya
Kuala Kangsar
kurang satu sa
yang akhirnya menjadi Bandar Di Raja
tempat singgahsana Raja dan pembesarnya

Istana Iskandariah
Masjid Ubudiah
Galeri Sultan Azlan
Istana Kuning
Maktab Melayu Kuala Kangsar
Jambatan Sayong
Labu Sayong
Hutan Lipur
destinasi kurang satu sa
yang perlu dimudiki perjalanan dan singgahi

Keilmuan
pentadbiran
kepahlawanan
kesenian
dan kebudayaan
bebas menunggu meneguk dan merasai nikmatnya.

Al Hisyam,
Laman Budaya, Kuala Kangsar.

DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU

Setiap tahun pada 19 April pasti Bandar Di Raja Kuala Kangsar menjadi tumpuan rakyat negeri dan pelancong asing datang di daerah ini. Daulat Tuanku. Begitulah kehormatan yang diberikan.
Hari ini, Sultan Azlan Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuff Izuddin Shah menyambut Hari Keputeraan ke 79. Semoga ALLAH melanjutkan usia Tuanku.

Pagi ini, pergi turun ke lembah bersama anakku Ain dan Ayum. Melihat perlukisan yang wujud di sekitarnya. Tapi tiada yang menarik. Mungkin orang ramai belum lagi keluar. Maklumkah cuti umum di negeri Perak. Di Istana Iskandariah Bukit Candan perbarisan dan penerima pingat sedang berlangsung.

Semalam berlangsung pertunjukan panjut antara jabatan-jabatan kerajaan di seberang Laman Budaya, Kuala Kangsar. Ramai rakyat jelata menyaksikan program tersebut. Hari Sabtu dan Ahad bersamaan 21&22 April nanti Sukan Air dan Rakyat mengisi cuti hujung minggu.

Semoga rakyat Perak dan luarannya dapat turut serta dalam program yang telah disediakan.

Monday, April 16, 2007

SIANG TIDAK MAMPU MENCELIKKAN MATA

SIANG TIDAK MAMPU MENCELIKKAN MATA

Sehari tidak mengadap komputer menaip baris kata daripada alam rasa membuatkan aku menjadi gundah seketika.

Hari Senayan aku baru melewati kerja 12 jam. Terlalu letih rasanya. Nak mengadap monitor pun tak sanggup. Tidur aje. Menyelesaikan tugas harian. Menghantar dan mengambil anak sekolah.
Selasa, seperti biasa. Rutin harian. Baca buku. Kerja malam. Menulis satu dua baris ayat tak tahu lagi mahu menyambungnya.

Rabu, seperti yang termaklum. Sudah selesai mengambil anak di sekolah aku pergi ke pekan.
Apa yang di cari entlah. Lepas tu aku pergi mesyuarat Kesatuan Sekerja tempat aku bertugas.

Khamis, aku terpaksa menaip borang maklum balas tentang PH. Di mana pihak majikan mahu Kesatuan Sekerja mencari maklum balas perkerja dan memilih satu hari PH dari tiga PH. Hari Buruh, Hari Agung dan Hari Kemerdekaan.
Jumaat, aku kerja juga. Sepatutnya aku cuti.

Sabtu, aku pergi ke majlis Diskusi Novel anjuran LEPAS PK dengan kerjasama Dewan Bahasa Wilayah Utara dan PPDKK. Aku tidak mampu menanti sehingga selesai. Almaklumlah malam nanti kena kerja balik. Dah tidak tidur lagi. Apa nak diucapkan cuti bagi pekerja malam dibekukan kecuali kecemasan dan cuti sakit
Maafkan aku Kak Nor dan Cikgu Rashid. Namun sekerdil waktu itu, aku dapat bertemu juga dengan Cikgu Azizi Haji Abdullah, Dr. Talib Samat, Puan Khariyah DBP Wilayah Utara dan lain-lain lagi.

Ahad, aku lena diperbaringan. Niat ada nak pergi ke Jelapang bertemu dengan kawan-kawan lama di KARYAWAN PK. Tapi terbatas. Aku tidak sanggup pergi tanpa kekuatan. Maafkan juga Tuan Haji Zabidin Haji Ismail, On Abdullah, Tuan Haji Sabri dan lain-lain.

TAK SEMPAT AKU MEMENUHI RUANG TERBUKA INI

TAK SEMPAT AKU MEMENUHI RUANG TERBUKA INI

Seminggu berlalu kini
aku tewas berbudi
mencari sebuah mahkota janji
antara perjuangan dan peradaban peribadi

Tak sempat aku memenuhi ruang terbuka ini
melewati setiap detik wajah hari
jika aku sering bermain bersama dinihari
mata payah celik di siang hari

Maafkan aku terselit di hati
andainya separuh kesungguhan aku singgahi
aku cuba mencabut sepi
mencabar keinginan bertaut ilusi
melorong semangat berwaja namun menjadi sepi
yang payah membatasi nawaitu hilang daripada bayangan sendi.

Al Hisyam,
Jalan Taiping, Talang.

Sunday, April 8, 2007

BUNGATULIP YANG LAYU

BUNGA TULIP yang layu itu
terus gusar dan sepi
bersama ilusi

Tanpa peduli janji
yang tinggal puji
kebajikan hilang di bumi asing meronta budi

Sanggup bunga sakura
tinggal sendiri
tanpa matahari

Al-Hisyam,
Kuala Kangsar.

Sunday, April 1, 2007

INSPIRASI

INSPIRASI

SEBELUM aku mengenali sastera apakah yang mencabar kehidupan semalam supaya mendekati ruang ini. Aku masih kosong dan tiada ilmu langsung dalam pembikinan sesebuah karya. Mungkin aku lahir daripada keluarga yang meminati sastera. Namun adik-adik aku sendiri bukanlah ada asasnya termasuk aku yang belajar di aliran lain. Cuma belajar bahasa Malaysia.

Di waktu persekolahan dahulu, tidak terpintas mahu menjadi seorang penulis. Manalah tidak kawan-kawan aku semuanya aktif dalam sukan. Aku masih teringat ayah dan ibu memarahi aku
kerana asyik bersukan, langsung tidak melayan pelajaran. Sehingga di halau keluar rumah.
Mungkin inilah jodohnya, setelah aku gagal dalam pelajaran. Aku bertemu dengan seorang rakan yang gemar menulis puisi. Namun waktu itu, aku belum menemui sentuhan mahu menghasilkan sebarang karya.

Terima kasih Ijamala M.N. Selepas aku menamatkan persekolahan, aku tidak mempunyai pekerjaan yang tetap. Rancangan Belia Bergerak Maju dan Remaja terbitan Radio Malaysia Kawasan Utara, Jalan Burma menjanjikan sinar baru dalam hidupku. Aku terpikat dengan program tersebut. Di situlah karya pertama aku disiarkan dan seterusnya.

Kebetulan karya-karya aku sering tersiar di media cetak dan elektronik kemudiannya aku bersemuka pula dengan penulis-penulis yang sebaya zamannya. Mereka juga turut sama mewarnai dunia penulisan tanah air. Aku banyak menghadiri bengkel penulisan kreatif, seminar sastera dan bahasa serta mendapat jemputan bacaan puisi. Terima kasih sekali lagi kepada teman-teman seperjuangan, LEPAS terutama Kak Noriah Sharif, Tuan Haji Azidin, Cikgu Rashid, Cikgu Suhaimi Zubir, Cikgu Itamta serta yang lain, KARYAWAN PK yang tidak lepas memberi galakan dan sokongan antaranya Ketua 1 Haji Zabidin Ismail, Yushaini Teriman, Jamaludin Ahmed, Onn Abdullah, Zahari Hasib, M. Shah, Sabariah Bahari dan lain-lain lagi.

Aku bersyukur bakat yang ALLAH berikan walaupun tidak sehebat mana. Bengkel yang terakhir aku ikuti ialah Bengkel Penulisan Kreatif anjuran KEKWA di Batu Feringgi, Pulau Pinang yang dibimbingi oleh anak sasterawan Negara S.M.Zakir, Rahimidin Zahari dan Khalid Salleh.

Begitulah seringkas bagaimana aku mengenali sastera.
Begitu luas lagi pelayaran ini.

RENUNGAN DALAM PUISI

RENUNGAN DALAM PUISI

AKU adaptasikan renungan ini
mencari tafsiran di wajah setiap manusiawi
antara sinar dan gelap
yang membatasi setiap detik kehebatan duniawi

Mengapa harus aku renung setiap wajah
yang terlintas itu?
jika kembalinya begitu sinis
menjudulkan erti

Kita belum kesampaian mengiringi keindahan alam realiti
menjiwai wajah yang tersurat dalam fantasi
menjadikan puisi kepada hakiki
demi melewati hasrat budi yang suci
menjanjikan peribadi terhindar sepi
menjadualkan keimanan dan ketakwaan sentiasa di hati.

Al-Hisyam,
Jalan Taiping, Talang.

Friday, March 23, 2007

AGENDA PEREMPUAN DAN PUISI

AGENDA PEREMPUAN DAN PUISI

SAMPAI bilakah mereka perempuan akan mengerti setiap kali aku merenungi wajah hari, berbias di kali andainya setiap saat mereka perempuan tidak akan mengerti yang tersurat dan tersirat di sebalik tembok sepi ini. Hanya agenda puisi yang selalu menemani sunyi. Lalu membawa peribadi merenung kembali perempuan bernama IBU. Bagaimana seorang ibu mengasuh dan membesarkan aku dan adik-adik menjadi dewasa kini.

Mereka perempuan selalu memandang sinis ke arah lelaki yang tidak pernah mereka perempuan cuba mengetahui apakah yang sedang difikirkan sebegitu.Sudah masuk 19 tahun aku berkerja di PTM/TTM. Pelbagai mereka perempuan aku temui dan aku sapai. Namun tidak ketinggalan mereka perempuan yang sering kali jauh daripada maksud ini. Biarlah puisi aku garap dan tinta jua, kepadanya memberi makna yang bermakna dalam diri.

Antara gadis, ibu tunggal, tunang, bini orang mereka perempuan yang tidak terlepas daripada agenda puisi. Bukan mahu mengambil kesempatan disebaliknya tapi mereka perempuan mempunyai darjah tertinggi dalam hidup. Cuma mereka perempuan tidak pernah mahu membatasi pemikiran yang dianugerahi oleh ILLAHI. Mengapa mereka perempuan sendiri yang alpa jua tanpa mempedulikan sebuah peradaban diri. Sebenarnya simpati pada mereka perempuan yang kehilangan warna identiti. Menghargai mereka perempuan yang cekal dan tabah menempuhi hidup bersama keimanan dan ketakawaan.

PEREMPUAN DI HUJUNG DISEMBER

KETIKA aku pergi jauh meninggalkan Disember ini
perempuan yang menjelaskan
tentang kehidupan
bagaimana mahu merentasi dan meredahi perih serta pedih
walaupun perempuan juga
daerah peradaban dan keaiban
yang mudah dipertontonkan
daripada dipentaskan.

AL HISYAM,
KUALA KANGSAR