Monday, April 30, 2007

TUNGGUL

TUNGGUL

KITA bukan tunggul yang rapuh
tapi tunggul berakar
boleh tumbuh segar
sehinggakan berzakar

Sanggupkah kita dilaknati
dibakari
dihasuti
difitnahi
walaupun tunggul
yang tetap di sudut bisu
unggul
dalam wacana hari

Kita masih punya fikiran
perasaan
yang tidak gentar
namun tetap mengerti tentang kepincangan
bukan takut atau gentar
cuma undang-undang sering di mata hati.

Al Hisyam,
Taiping, Perak.

Saturday, April 28, 2007

LESEN

LESEN

AKHIRNYA SI POLAN itu, berjaya dalam ujian undang-undang berkomputer. Maklumlah mencuba berkali-kali. Si Polan bersyukur kepada ALLAH. Dan berterima kasih kepada kawan-kawan yang selalu menyindir dan menghinanya. Si Polan telah bertekad yang dia tidak akan mengambil lesen terbang. Walaupun Si Polan telah tua.

Bukan waktu terdahulu, Si Polan tidak mahu mengambil lesen tapi Si Polan tidak mampu mengambilnya. Kini Si Polan harap dapat pula meneruskan ujian yang lain pula. Semoga Si Polan berjaya mendapatkan lesen walaupun terpaksa menempuh pelbagai rintangan. Tanpa menggunakan jalan yang singkat bagi kemudahan tersebut.

Friday, April 27, 2007

BISIK TEMAN

BISIK TEMAN

Bisik teman kepada aku
semalam baru pulang
daripada Malim Nawar
sedikit waktu lalu menerima
sebuah panggilan
yang mahukan aku turut serta
dalam pengerakan itu

Bisik teman lagi
sanggupkah mencari kesinambungan
yang tidak langsung punya erti
asyik mengumpul janji
tapi tumpul sendi

Bisik teman
mampukah kita melangkah jauh
atau semata-mata pisau di mata
tanpa asahnya
menjadi tajam setia.

Al Hisyam,
Perhentian Bas Kuala Kangsar.

Wednesday, April 25, 2007

POLITIK

POLITIK

AKU risau
aku sasau
aku langkau
politik yang mendekati jutaan demokrasi
mencetuskan reformasi
menjanjikan balasan budi


Politik
kenapa aku risau
aku sasau
aku langkau
sesungguhnya kebaikan
keburukan suatu dimensi

Apakah politik tulus
lurus
pulus
sempurna di hati seorang pemimpin.

Al Hisyam,
Karyawan PK.

TERIMA KASIH ISTERI

TERIMA KASIH ISTERI

1 Mei 2007 bersamaan hari BURUH genaplah ulang perkhawinan kita yang ke 13. Semoga ALLAH akan mengekalkan kita berdua sehingga akhirnya. Pengorbanan, kejujuran, kesetiaan dan semangat telah membawa persefahaman yang baik. Walaupun tidak terlepas daripada dugaan dan ujian yang gentir. Bukan mahu aku mengutarakan kisah peribadi sebenarnya dalam Alam Rasa.Com ini, tapi inilah hakikatnya.

Ainun, Ayum, Azfar dan Aziq mengusik kemesraan kita. Tanpa mereka teratak kita sunyi. Tambah pula kedegilan serta kenakalan membuatkan kita menjadi lebih dewasa. Menegur dan menasihati tetap kita tampilkan. Isteriku, pernah kau kata yang anak itu, lebih kasihnya daripada kau tapi bukankah aku telah buktikan. Lihat kanja kau yang tidak lepas daripada pangkuan kau.

Maafkan aku isteriku, sekiranya selama 13 tahun aku tidak dapat memberi segala hajat dan impian kau. Namun aku cuba jua demi menjernihkan tasik kebahagiaan kita. Walaupun kocakan itu punya buih yang membosankan.

Isteriku, sebaik sahaja kita bernikah sehingga hari ini, kau masih sudi memahami perjuangan yang aku lalui. Melepaskan aku pergi menghadiri seminar, bengkel, mesyuarat dan lain-lain. tanpa buruk sangka.

Sunday, April 22, 2007

BAGAIMANA MAHU KAU CARI

BAGAIMANA MAHU KAU CARI

Sukar kau mencari aku
selepas satu persatu
menghubungi setiap pertalian tapi sibuk membisu

Bagaimana mahu kau cari
di Kubang Halban
di Talang
atau di Chandan Puteri


Mengapa kau terlupa
tentang bancian mesra
yang sering tercipta
lalu leka
menghujani dusta
tanpa bijak berkata ya.

Al Hisyam,
No. 742, Persiaran 17, Fasa 3,
Taman Chandan Puteri,
33000 Kuala Kangsar.

Wednesday, April 18, 2007

BAHASA MALAYSIA

BAHASA MALAYSIA

Ayuh mari kita dayung sampan
hingga ke kuala
berpayung dan berbudi
memenuhi impian

Bahasa Malaysia
martabat kita sejati
merangkumi adab dan sopan
berperibadi
demi menghargai bahasa kebangsaan
yang terpuji.

Al Hisyam,
Karyawan Pk
Sudut Kuala Kansgar.

BAHASA

BAHASA

Sekarang ini, telah banyak diperkatakan tentang isu bahasa. Benarkah Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi rakyat Malaysia? Apakah bahasa Malaysia tidak sesuai dalam martabat rakyat yang berbilang kaum? Tidak dapat disangkal bahawa bahasa Inggeris itu penting pada dunia yang global ini.

Sejauh manakah pendirian GAPENA dan DBP dalam wacana kerajaan melaksanakan program tersebut. Kepenggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran matematik dan sains oleh kerajaan. Adakah rungutan dan bantahan? Apakah pelajar dapat mengikuti aliran ini serta tidak membebankan mereka?

Sememangnya kita akui sebelum ini, kerajaan telah mengadakan mata pelajaran bahasa Inggeris di dalam mata pelajaran lain. Awal 70 an lalu. Ketika itu, pelajar boleh mengikutinya.
Sehingga hari ini, di kalangan mereka yang melewati tahun tersebut dapat bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris walaupun tidak sebaik mungkin tapi boleh mengajar anak-anak mereka sendiri mengenali ayat dan ertinya.

Bilakah isu bahasa ini akan selesai? Pertikaian terus berlaku. Nampaknya kita tidak mempunyai satu arah penyelesaian bagi memantapkan bahasa itu, sendiri.

99 KURANG SATU SA

99 KURANG SATU SA

99 kurang sa
belum cukup satu kuala sungai

Sungai Perak meninggalkan bekas sejarah
yang perlu disemak kesan tapaknya
Kuala Kangsar
kurang satu sa
yang akhirnya menjadi Bandar Di Raja
tempat singgahsana Raja dan pembesarnya

Istana Iskandariah
Masjid Ubudiah
Galeri Sultan Azlan
Istana Kuning
Maktab Melayu Kuala Kangsar
Jambatan Sayong
Labu Sayong
Hutan Lipur
destinasi kurang satu sa
yang perlu dimudiki perjalanan dan singgahi

Keilmuan
pentadbiran
kepahlawanan
kesenian
dan kebudayaan
bebas menunggu meneguk dan merasai nikmatnya.

Al Hisyam,
Laman Budaya, Kuala Kangsar.

DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU

Setiap tahun pada 19 April pasti Bandar Di Raja Kuala Kangsar menjadi tumpuan rakyat negeri dan pelancong asing datang di daerah ini. Daulat Tuanku. Begitulah kehormatan yang diberikan.
Hari ini, Sultan Azlan Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuff Izuddin Shah menyambut Hari Keputeraan ke 79. Semoga ALLAH melanjutkan usia Tuanku.

Pagi ini, pergi turun ke lembah bersama anakku Ain dan Ayum. Melihat perlukisan yang wujud di sekitarnya. Tapi tiada yang menarik. Mungkin orang ramai belum lagi keluar. Maklumkah cuti umum di negeri Perak. Di Istana Iskandariah Bukit Candan perbarisan dan penerima pingat sedang berlangsung.

Semalam berlangsung pertunjukan panjut antara jabatan-jabatan kerajaan di seberang Laman Budaya, Kuala Kangsar. Ramai rakyat jelata menyaksikan program tersebut. Hari Sabtu dan Ahad bersamaan 21&22 April nanti Sukan Air dan Rakyat mengisi cuti hujung minggu.

Semoga rakyat Perak dan luarannya dapat turut serta dalam program yang telah disediakan.

Monday, April 16, 2007

SIANG TIDAK MAMPU MENCELIKKAN MATA

SIANG TIDAK MAMPU MENCELIKKAN MATA

Sehari tidak mengadap komputer menaip baris kata daripada alam rasa membuatkan aku menjadi gundah seketika.

Hari Senayan aku baru melewati kerja 12 jam. Terlalu letih rasanya. Nak mengadap monitor pun tak sanggup. Tidur aje. Menyelesaikan tugas harian. Menghantar dan mengambil anak sekolah.
Selasa, seperti biasa. Rutin harian. Baca buku. Kerja malam. Menulis satu dua baris ayat tak tahu lagi mahu menyambungnya.

Rabu, seperti yang termaklum. Sudah selesai mengambil anak di sekolah aku pergi ke pekan.
Apa yang di cari entlah. Lepas tu aku pergi mesyuarat Kesatuan Sekerja tempat aku bertugas.

Khamis, aku terpaksa menaip borang maklum balas tentang PH. Di mana pihak majikan mahu Kesatuan Sekerja mencari maklum balas perkerja dan memilih satu hari PH dari tiga PH. Hari Buruh, Hari Agung dan Hari Kemerdekaan.
Jumaat, aku kerja juga. Sepatutnya aku cuti.

Sabtu, aku pergi ke majlis Diskusi Novel anjuran LEPAS PK dengan kerjasama Dewan Bahasa Wilayah Utara dan PPDKK. Aku tidak mampu menanti sehingga selesai. Almaklumlah malam nanti kena kerja balik. Dah tidak tidur lagi. Apa nak diucapkan cuti bagi pekerja malam dibekukan kecuali kecemasan dan cuti sakit
Maafkan aku Kak Nor dan Cikgu Rashid. Namun sekerdil waktu itu, aku dapat bertemu juga dengan Cikgu Azizi Haji Abdullah, Dr. Talib Samat, Puan Khariyah DBP Wilayah Utara dan lain-lain lagi.

Ahad, aku lena diperbaringan. Niat ada nak pergi ke Jelapang bertemu dengan kawan-kawan lama di KARYAWAN PK. Tapi terbatas. Aku tidak sanggup pergi tanpa kekuatan. Maafkan juga Tuan Haji Zabidin Haji Ismail, On Abdullah, Tuan Haji Sabri dan lain-lain.

TAK SEMPAT AKU MEMENUHI RUANG TERBUKA INI

TAK SEMPAT AKU MEMENUHI RUANG TERBUKA INI

Seminggu berlalu kini
aku tewas berbudi
mencari sebuah mahkota janji
antara perjuangan dan peradaban peribadi

Tak sempat aku memenuhi ruang terbuka ini
melewati setiap detik wajah hari
jika aku sering bermain bersama dinihari
mata payah celik di siang hari

Maafkan aku terselit di hati
andainya separuh kesungguhan aku singgahi
aku cuba mencabut sepi
mencabar keinginan bertaut ilusi
melorong semangat berwaja namun menjadi sepi
yang payah membatasi nawaitu hilang daripada bayangan sendi.

Al Hisyam,
Jalan Taiping, Talang.

Sunday, April 8, 2007

BUNGATULIP YANG LAYU

BUNGA TULIP yang layu itu
terus gusar dan sepi
bersama ilusi

Tanpa peduli janji
yang tinggal puji
kebajikan hilang di bumi asing meronta budi

Sanggup bunga sakura
tinggal sendiri
tanpa matahari

Al-Hisyam,
Kuala Kangsar.

Sunday, April 1, 2007

INSPIRASI

INSPIRASI

SEBELUM aku mengenali sastera apakah yang mencabar kehidupan semalam supaya mendekati ruang ini. Aku masih kosong dan tiada ilmu langsung dalam pembikinan sesebuah karya. Mungkin aku lahir daripada keluarga yang meminati sastera. Namun adik-adik aku sendiri bukanlah ada asasnya termasuk aku yang belajar di aliran lain. Cuma belajar bahasa Malaysia.

Di waktu persekolahan dahulu, tidak terpintas mahu menjadi seorang penulis. Manalah tidak kawan-kawan aku semuanya aktif dalam sukan. Aku masih teringat ayah dan ibu memarahi aku
kerana asyik bersukan, langsung tidak melayan pelajaran. Sehingga di halau keluar rumah.
Mungkin inilah jodohnya, setelah aku gagal dalam pelajaran. Aku bertemu dengan seorang rakan yang gemar menulis puisi. Namun waktu itu, aku belum menemui sentuhan mahu menghasilkan sebarang karya.

Terima kasih Ijamala M.N. Selepas aku menamatkan persekolahan, aku tidak mempunyai pekerjaan yang tetap. Rancangan Belia Bergerak Maju dan Remaja terbitan Radio Malaysia Kawasan Utara, Jalan Burma menjanjikan sinar baru dalam hidupku. Aku terpikat dengan program tersebut. Di situlah karya pertama aku disiarkan dan seterusnya.

Kebetulan karya-karya aku sering tersiar di media cetak dan elektronik kemudiannya aku bersemuka pula dengan penulis-penulis yang sebaya zamannya. Mereka juga turut sama mewarnai dunia penulisan tanah air. Aku banyak menghadiri bengkel penulisan kreatif, seminar sastera dan bahasa serta mendapat jemputan bacaan puisi. Terima kasih sekali lagi kepada teman-teman seperjuangan, LEPAS terutama Kak Noriah Sharif, Tuan Haji Azidin, Cikgu Rashid, Cikgu Suhaimi Zubir, Cikgu Itamta serta yang lain, KARYAWAN PK yang tidak lepas memberi galakan dan sokongan antaranya Ketua 1 Haji Zabidin Ismail, Yushaini Teriman, Jamaludin Ahmed, Onn Abdullah, Zahari Hasib, M. Shah, Sabariah Bahari dan lain-lain lagi.

Aku bersyukur bakat yang ALLAH berikan walaupun tidak sehebat mana. Bengkel yang terakhir aku ikuti ialah Bengkel Penulisan Kreatif anjuran KEKWA di Batu Feringgi, Pulau Pinang yang dibimbingi oleh anak sasterawan Negara S.M.Zakir, Rahimidin Zahari dan Khalid Salleh.

Begitulah seringkas bagaimana aku mengenali sastera.
Begitu luas lagi pelayaran ini.

RENUNGAN DALAM PUISI

RENUNGAN DALAM PUISI

AKU adaptasikan renungan ini
mencari tafsiran di wajah setiap manusiawi
antara sinar dan gelap
yang membatasi setiap detik kehebatan duniawi

Mengapa harus aku renung setiap wajah
yang terlintas itu?
jika kembalinya begitu sinis
menjudulkan erti

Kita belum kesampaian mengiringi keindahan alam realiti
menjiwai wajah yang tersurat dalam fantasi
menjadikan puisi kepada hakiki
demi melewati hasrat budi yang suci
menjanjikan peribadi terhindar sepi
menjadualkan keimanan dan ketakwaan sentiasa di hati.

Al-Hisyam,
Jalan Taiping, Talang.