Tuesday, August 24, 2010

BERTUAH DI BUMI YANG MASIH BERMARUAH

BERTUAH DI BUMI YANG MASIH BERMARUAH

Nuzul Al Quran menempa janjinya lagi
dalam kemegahan Ramadan
kita melaluinya setiap detik waktu
dari kitab yang penuh rahsia
perhalusi surah tercipta

Bertuah di bumi yang masih bermaruah
kita dapat memanjangkan jua
perjuangan dan pengorbanan datuk nenek moyang
walaupun tergaris luka pada hati kehitaman awan bertompok jingga
dengan gejala yang melanda
tapi terus terkawal menyerlahkan keyakinan abadi

Bersama bulan yang menuntut amalan
kita pasrah menjadualkan rutin hari
meraih jiwa yang damai
Ramadan
Nuzul Al Quran
Kemerdekaan
sentiasa merakam keinsafan
mencari keimanan dan ketakawaan.

AL HISYAM,
KUALA KANGSAR.

Sunday, August 22, 2010

KETIKA BICARA TERLEPAS

KETIKA BICARA TERLEPAS

Kekadang tidak semestinya rindu terbaik dialun
kekadang tidak semestinya kasih luhur bersama
ketika bicara terlepas bibir terkatup jua

Iringilah Ramadan ini
bersama sejajar keimanan
sejurus ketakwaan

Ketika bicara terlepas
dingin pagi tak menjadi
panas petang ketidaktentuan

Apakah batin turut tersentap?
Zahir menerima dan mengharap
Syawal punya kemaafan serta keinsafan yang hakiki.

AL HISYAM,
CHANDAN PUTERI.

Sunday, August 15, 2010

HIKMAH RAMADAN INI

HIKMAH RAMADAN

Terpancung jiwa dihati
apabila dewasa ini
begitu dangkal sekali
kejelekan kehidupan yang penuh gambaran sangsi
begini
hikmah Ramadan yang muncul memberi khabar maknawi
menjirus kesedihan dan ratapan mimpi ngeri
betapa manusiawi terus diburu sepi
kelahiran bayi
kemusnahan yang didalangi
amukan peribadi
mengungkapkan Ramadan suci
penuh skrip dan cerita tersendiri.

AL HISYAM,
CHANDAN PUTERI,
KUALA KANGSAR.

Monday, July 26, 2010

NALURI SEORANG SUAMI

NALURI SEORANG SUAMI

Aku bukan seorang pemuda tampan
tapi seorang suami yang mengerti kasih seorang isteri

Aku bukan seorang lelaki yang sering merenung dalam firasat
tapi cukup menghasilkan puisi

Aku bukan seorang ayah yang mahu berkhawin lagi
tapi terpanggil dari sebuah kebetulan

Aku bukan seorang teman yang cuba menjadualkan janji
tapi memadai seketika menoleh kesengsaraan.

AL HISYAM,
CHANDAN PUTERI.

KHIANAT YANG TERANCANG

KHIANAT YANG TERANCANG

Setelah kita tertipu
setiap kali teruja meneruskan kejujuran
pasti menemui keterbatasan
yang keterlampauan

Khianat yang terancang
begitu terang
dalam gelap
begitu bercahaya
pada yang sememangnya bersuluh

Apakah bibir kaku?
Di tutup kebanggaan
menyimpan kejahilan dan kecelakaan
yang merampas keracauan
mudah terlontar kebaculan.

AL HISYAM,
CHANDAN PUTERI.

Sunday, July 11, 2010

PANTUN 5

PANTUN 5
Gadis Perasu tinggal di Bendang Kering,
Merantau dia mencari rezeki.
Secebis rindu tak berpaling,
Kalau cinta telah terbukti.

Renungan manis menambat jiwa,
Tertarik hati memendam rasa.
Igauan datang awalnya duka,
Akhirnya membawa realiti bersama .

Santunnya gadis membelai lembut,
Mendamba mesra mengusik lara.
Hindarkan gelora menghalangkan ribut,
Dari bala merusuh hiba.

Pasir Bogak mengimbaukan kisah silam,
Meninggalkan perisitiwa sebalik cinta.
Galak ingatan suara alam,
Kenangan peribadi pencetus dewasa.

Bersama Awis bermain ghazal‚
Resah duka amarah pergi‚
Berseloka pantun minatnya Rizal,
Sudah ternyata sudah terbukti.

Al Hisyam.

Tuesday, July 6, 2010

TELUK BATIK DALAM OMBAK SEMALAM

TELUK BATIK DALAM OMBAK SEMALAM

Terpegun dan terdetik
seperti baru tadi melewati perjalanan pulang
dari TELUK BATIK
dalam ombak semalam
aku menyaksikan batu batan
telah berdiri
sepanjang melalui kiri kanan tubuhmu

Persisiran pantaimu
semakin menyerlahkan keyakinan ini
memetikan gitar jiwa
penuh alun

Bukan semalam
tapi hari ini
aku bersama menemani keredupan
kedinginan telukmu

Semalam aku datang
dengan orang tua
kini aku bersama anak dan isteri
menghayati anugerah ILLAHI.

AL HISYAM,
TELUK BATIK.
4 JULAI 2010.