Tuesday, September 30, 2008

HUJAN PAGI SYAWAL

HUJAN PAGI SYAWAL

Kelewatan ini
tidak merobek jiwa
walaupun sedikit kecewa suku malam
ditinggalkan
daripada lena
yang panjang
tanpa penyerahan kepadaNya
demi kiblat iman dan takwa

Hujan pagi Syawal
tidak menewaskan aku mengharungi kelebatannya
meneruskan perjalanan dalam kelejunan
menjadualkan peribadi
menempahkan keyakinan
bertamu di awal Syawal
setelah sebulan bertarung peradaban
mencari barakah
yang hakiki.

AL HISYAM,
KARYAWAN PK.

Saturday, September 20, 2008

WAJAH IBU RAMADAN INI

WAJAH IBU RAMADAN INI

Sewaktu aku kecil seorang ibu
tidak pernah berpaut sepi
tidak pernah berpapah lesu

Wajah ibu Ramadan ini
begitu sayu di hati
begitu dekat janji ILLAHI


Tapi ibu
sekeras batu
yang tidak mahu bongkoknya terasing

Amalan
dalam penyerahan
bekalan kesungguhan

20 Ramadan
meneruskan jadual ibu
mendekatkan kejiwaan

Apakah sepuluh malam terakhir
menjadualkan barakah
meniti tekad menempatkan keimanan dan ketakwaan.

AL HISYAM,
Simpang Tiga Talang,
33000 Kuala Kangsar.

Monday, September 8, 2008

PUTARAN

PUTARAN

APAKAH Ramadan medan jiwa
menyorong dalam sepi

Putaran ini
20 tahun menanti
menunggu anugerah
daripada mata yang buta
kepada hati yang celik

Ingat
dalam rindu ALLAH
yang SATU
tetap aku nikmati
sebuah hikmah
tetap aku layari
sebuah maruah

Sehingga hari ini
8 Ramadan 1429
menjadi saksi
yang cintaku padaNya
hanya SATU
walaupun aku terpaksa
terpaku dan dipaku sebegitu
biarlah 20 tahun aku tersepuh di situ
mungkin doa tawakal
menghadiahkan sesuatu
yang aku tidak tahu
mungkin esok
lusa
tulat
aku akan menerima anugerah yang jitu.

AL HISYAM.